Total Pageviews

Tuesday, 20 August 2013

9 pembangunan dengan landskap berciri kehijauan diiktiraf



NYAMAN DAN HIJAU: Siloso Beach Resort antara sembilan pembangunan di sini yang menerima pengiktirafan Rangka Kerja Penilaian Kecemerlangan Landskap (Leaf) kerana berjaya menerapkan ciri hijau secara kreatif pada bangunannya. - Foto THE STRAITS TIMES

SEMBILAN pembangunan di sini menerima pengiktirafan kerana rekaan landskap yang menerapkan ciriciri kehijauan.
Dinamakan sijil Rangka Kerja Penilaian Kecemerlangan Landskap (Landscape Excellence Assessment Framework - Leaf), skim pensijilan itu diperkenalkan buat julung-julung kalinya oleh Lembaga Taman Negara (NParks).
Menteri Pembangunan Negara, Encik Khaw Boon Wan, yang hadir selaku tetamu terhormat dalam majlis pelancaran Leaf di Hort Park dekat Alexandra Road, semalam turut menyampaikan sijil Leaf kepada pasukan projek pembangunan itu.
Pembangunan yang menerima sijil Leaf itu termasuk estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kondominium , hospital, bangunan pejabat dan hotel.
Antaranya termasuk Hospital Khoo Teck Puat; estet HDB Pangshan Grove di Bukit Panjang; Siloso Beach Resort; kondominium Newton Suites di Newton; dan bangunan pejabat di 158 Cecil Street.
Selain itu, empat pembangunan yang belum siap - kondominium Corals At Keppel Bay; kondominium The Interlace dekat Kent Ridge, kondominium eksekutif The Rainforest di Choa Chu Kang; dan estet HDB Senja Parc View di Bukit Panjang - turut menerima pengiktirafan Leaf.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NParks, Encik Poon Hong Yuen, berkata sijil Leaf mengiktiraf pemaju dan pemilik hartanah yang berjaya menenun kehijauan dan alam semula jadi dalam pembangunan mereka secara kreatif.
"Singapura telah berjaya membina rekod prestasi yang terbukti dalam usaha menghijaukan landskap bandar kita di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi... ini terbukti di jalan raya, taman, penghubung taman dan di bangunan," kata Encik Poon.
Pensijilan Leaf sah selama tiga tahun dan selepas itu, pembangunan itu boleh dinilai semula bagi memastikan ia dapat terus mengekalkan dan menguruskan ciri-ciri kehijauannya.
CEO HDB, Dr Cheong Koon Hean, berkata landskap yang baik dan sekitaran hijau yang subur amat penting sedang negara ini membina bangunan-bangunan tinggi dalam sekitaran yang padat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Recent Posts Widget

KLIK JANGAN TAK KLIK

Tingkatkan trafik anda di sini

My Bloglist