#Korek Hidung Semasa Berpuasa
Soalan: Adakah batal puasa sekiranya memasukkan suatu benda ke dalam rongga badan seperti mengorek telinga ataupun hidung?
Ustaz: Menurut pendapat yang muktabar dalam kalangan sarjana fikah Mazhab Syafie, tidak batal puasa dengan sebab memasukkan sesuatu ke dalam hidung ataupun telinga melainkan sampai kepada had batin.
Menurut satu pendapat, had batin bagi hidung ialah melepasi tulang hidung dan had bagi telinga pula adalah sampai kepada gegendang telinga.
#Hukum Berkumur Dengan Listerine Pada Siang Bulan Puasa
Soalan: Saya musykil dan ingin mendapat jawapan berkenaan hukum berkumur dengan alat kumur contohnya Listerine ketika berpuasa. Adakah harus ataupun makruh?
Niat saya mahu menyegarkan mulut dan nafas kerana tidak digalakkan kerap gosok gigi ketika siang hari pada bulan puasa.
Ustaz: Menurut pendapat yang muktabar dalam mazhab Syafie, harus berkumur membersihkan mulut atau bersugi sebelum masuk waktu zuhur. Sekiranya selepas waktu zuhur hukumnya adalah makruh. Ini adalah berdasar sebuah hadis di mana Nabi Muhammad berkata yang maksudnya:
"Bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi"
Walaubagaimanapun, Imam Nawawi dalam fatwanya menjelaskan tidak makruh membersihkan mulut sekalipun selepas masuk waktu zuhur. Menurutnya hadis itu bukan melarang membersihkan mulut, tetapi hanya menyatakan kelebihan orang yang berpuasa.
Pendapat Imam Nawawi ini menyatakan tidak mengapa membersihkan mulut dengan ubat pencuci mulut bagi orang yang sedang berpuasa. (rujuk Kitab Majmuk Imam)
#Masuk Air Sebab Sakit
Soalan: Adik saya dimasukkan ke hospital kerana kekurangan air di dalam badan. Doktor memasukkan air ke dalam badannya melalui saluran tiub yang disambungkan pada lengannya. Adakah puasa adik saya batal ataupun tidak?
Ustaz: Menurut pendapat sebahagian sarjana Islam, sekiranya air yang dimasukkan ke dalam badan melalui tiub itu masuk ke dalam rongga seperti perut, maka batal puasa adik and itu. Wajib digantikan puasa yang batal itu selepas sembuh daripada sakit.
Sekiranya dia tidak sedar, tidak wajib diganti puasa itu kerana orang yang pengsan itu tidak wajib berpuasa kerana dia tidak dikira sebagai mukalaf ketika itu.
#Ganti Puasa
Soalan: Pada tahun lepas, saya tidak sempat habis mengganti puasa, adakah saya perlu mengganti dua kali ganda puasa itu pasa tahun ini? Ataupun hanya perlu membayar fidyah?
Ustaz: Sekiranya anda tidak sempat gantu pada tahun lepas, bermakna anda wajib ganti puasa itu pada tahun ini dengan jumlah hari yang sama iaitu tidak bertambah. Tetapi wajib membayar fidyah disamping menggantikan puasa itu sebanyak secupa beras bagi sehari yang ditinggalkan.
#Mengeluarkan Air Mani Dengan Sengaja Pada Bulan Puasa
Soalan: Saya dan suami belum dikurniakan anak. Kami berjumpa dengan pakar sakit puan dan suami saya diminta melakukan ujian air mani sedangkan dia berpuasa Ramadan. Saya tahu mengeluarkan air mani dengan sengaja akan terbatal puasanya. Namun adakah ia satu dosa besar? Tujuan kami adalah bagi melakukan ujian kesuburan. Apakah hukumnya? Bagaimana pula cara mengganti puasa itu?
Ustaz: Mengeluarkan air mani dengan tujuan membuat ujian kesuburan tetap membatalakn puasa sebagaimana yang disebut para sarjana fikah yang muktabar. Ia dikira berdosa kerana ujian itu boleh dilakukan pada bulan-bulan lain dan tidak termasuk perkara yang penting iaitu berkait dengan menyelamatkan nyawa atau anggota badan daripada mengalami kecacatan sekiranya tidak dilakukan ujian itu.
Wajib diganti puasa yang terbatal itu dengan segera selepas masuk bulan Syawal.
#Fidyah Solat Dan Puasa Untuk Meninggal Dunia
Soalan: Saya mahu bertanya mengenai fidyah ibu saya yang meninggal dunia, tetapi saya tidak tahu sepenuhnya mengenai ibadah solat dan puasa yang ditinggalkan. Sepengetahuan saya, ibu tidak solat sewaktu beliau sakit.
Ustaz: Fidyah hanya boleh dikeluarkan dengan sebab si mati meninggalkan puasa iaitu sekiranya ditinggalkan selama sehari maka fidyahnya adalah secupak beras diberikan kepada fakir ataupun miskin. Sekiranya tidak tahu jumlah yang tepat berapa lama simati meninggalkan puasa, perlu dianggarkan dengan anggaran yang sampai pada sangkaan bilangan hari yang ditinggalkan puasa itu.
Menurut pendapat yang muktabar, sekiranya si mati meninggalkan solat, maka tidak ada fidyah yang wajib dikeluarkan. Namun waris boleh bersedekah dengan meniatkan sedekah itu daripada si mati dan semoga waris dapat memberi manfaat kepada si mati.
#Puasa Pada Bulan Rejab Dan Syaaban
Soalan: Mohon ustaz jelaskan amalan Nabi Muhammad ketika bulan Rejab dan Syaaban?
Ustaz: Dalam hadis-hadis yang sahih menyatakan, Nabi Muhammad memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban, tetapi tidak sampai sebulan penuh.
Amalan yang lebih baik ialah berpuasa sebanyak 15 hari sahaja pada tiap-tiap bulan itu.
No comments:
Post a Comment