Berikut luahan hati seorang suami yang kecewa mengingatkan kisah silam isterinya yang kelam. Walaupun begitu dia begitu mencintai isterinya dan mengharapkan rumah tangga mereka bahagia biarpun hatinya dibelenggu kerunsingan.
Saya telah berkahwin dengan isteri setahun lepas. Biar pun baru namun kami sudah
lama
mengenali dan telah berkasih selama 10 tahun sebelum berkahwin.
Sepanjang bercinta, kami tidak pernah menghadapi masalah yang besar dan
jarang bergaduh.
Mengimbas apa yang berlaku sebelum berkahwin, kami sebenarnya pernah
terlanjur dan kerana menurut hawa nafsu kami mengulangi perbuatan
terkutuk itu. Satu hari, kami berdua ditangkap basah oleh keluarganya
dan mereka bertindak memutuskan perhubungan kami. Kami akhirnya
berjauhan kerana tinggal di
negeri berlainan.
Saya terlalu mencintainya dan saya juga percaya dia mencintai saya
pada masa itu. Selama kami berjauhan, dia tidak pernah menunjukkan
sebarang perubahan sikap dan sentiasa membalas surat dan panggilan saya
dengan penuh mesra dan kasih
sayang.
Dia juga pernah beberapa kali datang berjumpa dengan saya tanpa
pengetahuan ibu bapanya. Pada saya, dialah wanita yang betul-betul
istimewa dan mencintai saya sepenuh jiwa. Untuk pengetahuan puan
sepanjang perhubungan kami, saya tidak pernah berlaku curang dengan
perempuan lain walaupun saya banyak peluang untuk melakukan semua itu.
Selepas tamat Sijil Pelajaran
Malaysia
dia dapat melanjutkan pelajaran di utara Semenanjung. Rupa-rupanya
semasa melanjutkan pelajaran, dia telah berlaku curang dengan meniduri
enam orang lelaki dan dalam masa yang sama masih menjadi kekasih saya.
Perkara ini hanya saya ketahui setelah kami berkahwin.
Cukuplah di sini saya katakan bahawa dia terlalu mudah untuk
menyerahkan diri kepada lelaki-lelaki tersebut walaupun dia tahu bahawa
mereka tidak
serius
dengannya. Lelaki pertama yang dia tiduri adalah rakan sibernya dan
mereka melakukan hubungan seks pada kali pertama mereka berjumpa.
Seterusnya, lelaki-lelaki yang hadir dalam hidup dia hanyalah untuk
memuaskan nafsunya sahaja kerana saya tidak dapat bersama dengannya atas
masalah kewangan yang tidak mengizinkan saya berjumpa dengan dia
selalu.
Saya tidak faham kenapa dia sanggup bersama dengan lelaki lain dengan
begitu mudah dan dalam masa yang sama masih menjalinkan hubungan dengan
saya? Kenapa dia memilih saya untuk dijadikan suami? Sudah puaskah dia
melampiaskan nafsunya kepada lelaki-lelaki itu?
Apa pun dia telah pun
sah menjadi isteri saya sekarang. Perkara
ini
telah diceritakan oleh isteri semasa kami berbual kosong empat bulan
lepas. Saya menguji dirinya bercerita tentang perkara yang pernah
dilakukan dulu. Saya tak pernah terfikir bahawa dia sanggup berkelakuan
sedemikian. Saya betul-betul percaya bahawa dia setia dan mencintai saya
sepenuh hati.
Lelaki pertama menidurinya (rakan siber) itu rupa-rupanya adalah
kawan kepada kawan saya sendiri. Rakan itu pernah bercerita dengan kami
tentang seorang wanita yang sanggup menidurinya walaupun baru pertama
kali bertemu. Pada masa itu, kami semua mentertawakan wanita tersebut.
Saya sendiri menganggap wanita itu bodoh kerana menyerahkan
kehormatannya pada lelaki yang baru dikenali, Namun saya tidak menyangka
bahawa wanita tersebut adalah isteri saya saat ini.
Sekarang ini, saya mohon nasihat puan bagaimana saya hendak
menghadapi dugaan yang begitu berat ini. Masih wujud rasa kasih sayang
kepadanya tetapi
cinta
itu semakin pudar. Pada hari akad nikah kami, saya nekad untuk
membahagiakan dirinya dan tidak akan menduakan dia tetapi rupa-rupanya
dia yang terlebih dahulu menduakan saya.
Bagaimana saya hendak teruskan hidup dengannya. Saya tahu kesalahan
ini kisah lama, kira-kira lapan tahun lalu sebelum dia menjadi isteri
saya? Saya tidak dapat terima dia boleh berlaku curang pada saya dan
dalam masa sama, tidur dengan lelaki lain!
Saya betul-betul keliru. Tolonglah, bagaimana harus saya selamatkan perkahwinan kami?
Sekarang ini, kadangkala saya masih ok tapi ada kala murung dan tidak
tentu arah. Saya takut jadi gila. Untuk makluman juga, buat masa ini
kami tinggal berjauhan, saya di Semenanjung manakala isteri di luar
Semenanjung. Sesekali kami akan bertemu. Dia memang menunjukkan sikap
mahu berubah dan cuba menawan hati saya tetapi tamparan yang diberi
terlalu hebat bagi saya. Bantulah saya puan!
Assalamualaikum tuan yang dirahmati Allah
Tuan yang dimuliakan, Perlakuan manusia dihasilkan daripada kombinasi
kefahaman, keperluan, cara hidup, gaya hidup dan beberapa elemen emosi
serta ketaatan manusia kepada penciptanya. Ia amat berkait rapat dengan
pembinaan manusia secara kombinasi jasad, akal, roh dan nafsu yang
mendorong manusia untuk mengikut peraturan atau tidak mengikut peraturan
yang disediakan oleh manusia atau hukum yang telah ditentukan oleh
Allah SWT.
Manusia yang kurang ketaatan dan ketakutan kepada Allah S.W.T akan
bertindak mengikut kesesuaian diri, keseronokan dan mengabaikan larangan
yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T, manakala manusia yang taat dan
takut kepada Allah pula akan sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T dan
berusaha untuk menjauhkan diri dari melakukan perkara yang mungkar dan
merugikan manusia. Sehubungan itu kelompok manusia yang suka melakukan
perkara yang mungkar pula akan bertemu dengan manusia yang mempunyai
“taste” yang serupa maka tidak hairanlah bahawa manusia yang melakukan
zina maka akan bertemu dengan manusia yang suka melakukan zina juga.
Namun Allah S.W.T maha pengampun dan penyayang yang akan memberi
jalan keinsafan walaupun sudah jelas segala kemungkaran itu berlaku
akibat dari kerakusan nafsu manusia. Maka keinsafan yang
bersungguh-sungguh dan diikuti dengan taubat nasuha akan membawa manusia
ini ke jalan yang benar dan diredhai.
Ini yang berlaku kepada tuan, tuan telah pernah hanyut dalam
kegelapan bersama-sama kekasih tuan yang akhirnya menjadi isteri tuan.
Setelah pintu keinsafan terbuka dan tuan mengajak isteri tuan
bersama-sama untuk membuka cerita baru dalam hidup ini, kisah lama yang
disingkap telah membawa tuan menjadi lebih beremosi serta cuba mengubah
sejarah silam mengikut acuan tuan sendiri. Tuan menganggap bahawa kisah
silam tuan tidak pernah berlaku secara songsang, tuan memilih isteri
yang tidak curang, tuan mengharap kekasih tuan juga seperti tuan iaitu
boleh ditiduri oleh tuan seorang saja, bukan lelaki yang lain.
Padahal hakikatnya sama saja iaitu tuan pada masa itu tidak kekok
untuk melakukan zina dan kekasih tuan pada masa itu juga mempunyai
tujuan yang sama. Hanya setelah dikejutkan oleh keluarga, barulah tuan
sedar dan berubah. Keadaan ini telah menambahkan helah bela diri tuan
bagi merasionalkan anggapan tuan bahawa kenapa tuan boleh setia
sedangkan kekasih (sekarang isteri) tuan boleh mencari pelbagai pilihan
lelaki untuk ditiduri. Oleh itu tuan perlu memikirkan alternatif ini
bagi membantu tuan mengubah persepsi tuan.
Pertama, pastikan maklumat dari isteri tuan ini adalah benar dan
bukan sekadar menonjolkan “kehebatan” dalam sesi cabar-mencabar bersama
tuan. Setelah dipastikan ketepatan, maka tuan perlu timbangkan
kepentingan untuk terus berada dalam dilema ini. Cuba pastikan bila masa
peristiwa ini berlaku, jika sudah menjadi lipatan sejarah maka tuan
perlu menerima isteri tuan seadanya bukan menyingkap kisah lalu dan
menyalahkan isteri tuan atas kecurangan yang berlaku.
Kedua, tuan perlu fahami keadaan cemburu tuan didasari oleh kasih
atau dendam. Jika didasari oleh kasih maka bawalah isteri tuan ke
pangkal jalan dan jangan tinggalkan dirinya seorang diri meredah segala
duri kehidupan. Sebaliknya jika didasari dendam atau menjadi ‘pak
sanggup’ di atas ketelanjuran maka tuan perlu memperbetulkan segala
kepincangan ini dan perbetulkan niat perkahwinan tuan.
Tuan perlu sedar bahawa kejadian kaum Adam adalah pemimpin kepada
kaum hawa, maka gunakan sebaik mungkin peluang keinsafan yang ada untuk
kembali ke jalan yang benar dan diredhai Allah S.W.T.
Ketiga, tuan perlu fikirkan semula jarak berjauhan tuan dan isteri
yang boleh mengundang seribu satu macam persepsi negatif serta
menggalakkan peluang kecurangan berulang kembali serta peluang fitnah
yang berleluasa.
Oleh itu usahakan agar tuan dan isteri boleh berada dekat kerana
tempat isteri adalah di samping suami. Keempat, tuan perlu kembalikan
pemikiran positif tuan kepada diri tuan dan isteri iaitu dengan
merancang apa yang akan tuan lakukan di masa depan bukan menoleh ke
belakang dan mengimbau pengalaman dosa dan ketelanjuran yang boleh
meracuni kebahagiaan suami isteri.
Tuan perlu faham bahawa segala yang berlaku adalah dengan kerelaan
tuan seperti tuan merelakan berlaku zina antara tuan dan isteri sebelum
berkahwin. Tuan rela menerima isteri dalam banyak keadaan dan tuan
sanggup melupakan segala kenangan silam demi untuk membahagiakan isteri
tuan. Oleh itu tuan perlu berhenti dari memikirkan kisah silam dan
tumpukan untuk usaha berada dekat dengan isteri tuan.
Tuan yang dihormati, yakinlah bahawa menjadi seorang pemimpin dalam
keluarga , sangat besar tanggungjawabnya terhadap diri dan orang yang
dipimpin. Ketahuilah bahawa tuan sudah berada di atas landasan yang
benar, maka teruskan perjalanan dan perjuangan.
Usahakan agar isteri tuan tidak kembali kepada jalan perzinaan dengan
sentiasa berada dekat dengannya, lupakan kisah silam masing-masing dan
terima anugerah kebahagiaan ini untuk mempertingkatkan usaha merapatkan
hubungan dengan Allah S.W.T. Bantu isteri untuk takutkan Allah S.W.T dan
beriman dengan Allah S.W.T kerana sesungguhnya apabila manusia takutkan
azab Allah S.W.T maka dia akan berusaha menjauhkan dosa.
No comments:
Post a Comment