KUALA TERENGGANU - Seorang janda tidak serik meskipun sebelum ini
pernah ditahan dan didenda kerana kesalahan khalwat, apabila dia masih
mengulangi kesalahan sama selepas sekali lagi ditahan berkhalwat bersama
pasangannya di rumah sendiri.
Akibat perbuatannya itu, janda berusia 26 tahun itu dihadapkan ke
Mahkamah Rendah
Syariah Kuala Terengganu dan dijatuhi hukuman penjara
sebulan serta denda RM2,600 atau berdepan penjara tambahan lima bulan
lagi jika gagal menjelaskan denda.
Sebelum ini, pada 6 Oktober 2013, dia yang bekerja sebagai pembantu
kedai kain pernah didenda RM2,400 atau dua bulan penjara jika gagal
menjelaskan denda oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman kerana kesalahan
berkhalwat.
Sementara itu, pasangannya yang berusia 35 tahun dan masih bujang pula
didenda RM2,600 atau empat bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Keputusan dibuat selepas mereka berdua mengaku salah terhadap
pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah rumah di Pangsapuri Ladang,
Fasa 2, di sini, jam 12.45 tengah malam pada 30 September lalu.
Sepasukan pegawai penguatkuasa syariah daerah melakukan serbuan berwaran ke atas sebuah rumah pangsapuri itu.
Sebaik tiba, pintu rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam sebelum
anggota penguatkuasa mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.
Pintu utama dibuka seorang wanita kira-kira seminit kemudian sebelum
anggota memperkenalkan diri dan menunjukkan waran geledah serta meminta
izin untuk membuat pemeriksaan.
Anggota penguat kuasa syariah kemudiannya menemui seorang lelaki di
dalam bilik pertama dan pemeriksaan mendapati hanya mereka berada di
dalam rumah berkenaan.
Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri atau muhrim, sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu di mahkamah sama juga, seorang penjual ikan yang sebelum
ini pernah dikenakan denda RM2,600 atau dua bulan setengah penjara
kerana berkhalwat, juga tidak serik apabila sekali lagi dicekup bersama
pasangannya di dalam sebuah hotel, September lalu.
Susulan penahanan itu, penjual ikan berusia 19 tahun itu dihadapkan ke
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu dan dijatuhi hukuman denda
RM2,500 serta sebulan penjara, atau berdepan hukuman penjara tambahan
lima bulan jika gagal menjelaskan denda.
Sementara itu, pasangannya berusia 19 tahun dan masih bergelar pelajar
pula diarahkan ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak
Bernam, Selangor selama enam bulan.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua mereka mengaku salah terhadap
pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik
hotel di Jalan Tok Lam, di sini, jam 11.50 pagi, 23 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal
Agama Terengganu di hadapan Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat
Yusof.
Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa syariah daerah
melakukan satu serbuan berwaran ke atas sebuah bilik hotel di Jalan Tok
Lam.
Sebaik tiba di bilik berkenaan, pintu utama tertutup rapat dan berkunci
dari dalam sebelum anggota penguatkuasa mengetuk pintu dan memberi
salam beberapa kali.
Anggota kemudian mendapatkan kunci pendua daripada pihak hotel, namun
masih gagal masuk kerana bilik dikunci menggunakan rantai dari dalam.
Anggota mengarahkan pintu dibuka penghuninya namun tiada sebarang
respons. Pintu hanya dibuka kira-kira 20 minit kemudian oleh seorang
lelaki.
Sebaik masuk ke dalam bilik, anggota menemui seorang wanita di atas
katil dan pemeriksaan mendapati hanya mereka sahaja yang berada di dalam
bilik.
Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri atau mahram sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, pada 14 April lalu, lelaki tersebut pernah dikenakan denda
oleh mahkamah kerana kesalahan berkhalwat bersama pasangan yang lain.