Gambar hiasan
JOHOR BAHRU – Luluh hati seorang ibu selepas dimaklumkan hasil
pemeriksaan doktor mendapati anak tunggalnya itu telah diperkosa dan
paling memeranjatkan perbuatan terkutuk itu adalah angkara suaminya
sendiri.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Manayi
Ibrahim berkata, kanak-kanak enam tahun dan ibunya berusia 50 tahun
itu, kini di tempatkan di rumah perlindungan JKM disebabkan faktor
keselamatan sementara kes dalam siasatan.
“Kanak-kanak terbabit memaklumkan dia berasa sakit di bahagian sulit
kepada ibunya, namun mangsa tidak menceritakan dia telah dirogol
bapanya.
“Disebabkan wanita itu tidak sedap hati, dia membawa anaknya ke sebuah
klinik untuk menjalani pemeriksaan. Bagaimanapun pihak klinik telah
mencadangkan kepada ibu mangsa supaya merujuk kepada pihak hospital.
“Ketika itu, wanita yang bekerja sebagai tukang sapu itu masih belum
tahu apa yang telah terjadi ke atas anaknya sehinggalah dia membawa
anaknya ke hospital dan doktor menasihatkannya membuat laporan polis,”
katanya.
Manayi berkata, ibu mangsa yang juga warga negara Indonesia turut
mendakwa suaminya berusia, 60 tahun yang bekerja sebagai pemotong rumput
kerap memukulnya jika berlaku perselisihan faham.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal JKM, lelaki pemegang status
penduduk tetap itu, bertindak melakukan perkara terkutuk ketika
isterinya tiada di rumah.
“Kita telah merujuk kanak-kanak terbabit untuk menjalani sesi
kaunseling berikutan dia menunjukkan tanda kemurungan dan kurang
bercakap,” katanya.
Manayi berkata, wanita itu juga terlalu sedih apabila suami yang
diharapkan melindungi keluarga tergamak merosakkan anak sendiri.
OPOCOT